Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TANAH JAMBU, Jumaat, 16 Januari. - Pastinya pencapaian pegawai-pegawai kadet yang baharu ditauliahkan semasa berlangsungnya Upacara Sovereign's Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan Ke-24, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan (AP) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), bukan hanya menjadi kebanggaan bersulam jiwa kesyukuran bagi mereka malah ia juga sebagai satu kebanggaan yang besar bagi para ibu bapa dan ahli keluarga serta sanak saudara yang telah memberikan sokongan dan suntikan semangat ke arah kejayaan selama ini.
Dalam pada itu, bagi menyelami perasaan golongan ibu bapa bagi para pegawai kadet yang diraikan setelah Upacara Sovereign's Parade berkenaan baru-baru ini, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual Dr. Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos selaku bapa kepada Leftenan Dya Muhammad Nafis.
Dr. Haji Mohd Rozan terdahulu meluahkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang mana satu perasaan sangat gembira dan bangga yang sememangnya sukar untuk diungkapkan sepenuhnya ketika menyaksikan anak beliau melakukan perbarisan bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain di Padang Kawad AP ABDB, Kampung Tanah Jambu dan menjadi salah seorang pegawai ABDB pada hari itu.
“Maka dari detik penuh bersejarah ini pastinya ia menandakan satu amanah dan tanggungjawab yang wajib ditanai oleh pegawai-pegawai tentera baharu Negara Brunei Darussalam kita untuk sama-sama menjaga pertahanan negara," ujar beliau.
Dalam kesempatan itu, Dr. Haji Mohd. Rozan turut merakamkan kesyukuran dengan kehadiran Yang Dimuliakan Pehin Datu Indera Sugara Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar dan isteri yang menjadi antara insan-insan yang banyak memberi inspirasi dan motivasi kepada anak beliau sehingga meraih pencapaian sampai ke detik ini.
“Sebelum anak saya menjadi pegawai tentera, antara nasihat yang sering diperingatkan kepadanya ialah untuk menjadi seorang pegawai yang terbaik dan melaksanakan tugas-tugas yang terbaik kerana mereka ini diperlukan untuk menjaga negara.
“Alhamdulillah, apabila saya melihat perkembangan dalam diri anak saya lebih-lebih lagi ketika balik ke rumah setiap dua minggu sekali itu jelas adanya perubahan dari segi disiplin dan sebagainya. Satu kebaikan dapat dilihat setelah mengharungi latihan ketenteraan intensif Sekolah Pegawai Kadet AP ABDB ini," tambah beliau pada akhir temu bual.